11 Pemain Hoki Malaysia Terbaik Sepanjang Zaman


Antara sukan yang sering melonjakkan nama Malaysia di mata dunia adalah sukan hoki. Semenjak dari era 70-an lagi, terdapat ramai pemain hoki Malaysia yang berbakat dan disegani antarabangsa. Nama-nama seperti Sri Shanmuganathan, Poon Fook Loke, R. Yogeswaran, Colin Sta Maria, Minarwan Nawawi dan Sarjit Singh telah berjaya meniti di bibir kalangan peminat hoki di seluruh dunia. 


Hari ini izinkan saya memilih 11 yang terbaik di antara mereka semua. Untuk bersikap lebih adil, maka saya cuma senaraikan pemain-pemain yang pernah saya saksikan sendiri beraksi dengan mata kasar saya. Oleh itu, Datuk Sri Sri Shanmuganathan, Datuk R. Yogeswaran, Azaari Mohd. Zain dan Wong Choon Hin misalnya terpaksa saya ketepikan dari senarai ini.

Saya pemilih sistem tradisional 2-3-5 untuk memilih 11 pemain hoki terbaik Malaysia dengan satu pemain yang paling saya minati di setiap posesi di bawah sistem ini. 

Oleh itu perlu ada:
  1. 1 Penjaga Gol
  2. 2 Pemain Pertahanan
  3. 3 Pemain Tengah
  4. 5 Pemain di barisan hadapan

S.Kumar  (Penjaga Gol)
Penjaga gol kebangsaan sekarang. Berusia 35 tahun dengan 210 caps untuk Malaysia. Sering bersaing
dengan Roslan Jamaluddin untuk posesi penjaga gol utama Malaysia. Walaupun beliau sering diketepikan dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia, saya amat sukakan S.Kumar di gawang gol negara. Di hari-hari tertentu, dia bagai sukar ditembusi langsung. Pemilihan yang paling sukar mengambil kira betapa ramai penjaga gol yang hebat buat negara seperti Roslan, Mohd Nasihin Nubli dan Ahmad Fadzil Zainal Abidin.

Foo Keat Seong (Pertahanan)
Bekas ketua pasukan hoki negara yang amat tenang dan fokus di atas padang. Amat jarang melakukan kesilapan dan disegani pemain-pemain lain. Antara pemain hoki terawal yang saya idola semasa kecil (biarpun saya bermain di posesi serangan). Bagi saya, antara pemain pertahanan terbaik di dunia sepanjang zaman.

S. Kuhan (Pertahanan)
Pakar sudut pendek dan benteng pertahanan kebal Malaysia. Sepanjang kerjayanya dalam bidang hoki, S.Kuhan telah mewakili negara sebanyak 341 kali, ia satu rekod. Rekod ini kemudiannya dipecahkan oleh Azlan Misron yang sehingga kini mewakili negara sebanyak 350 kali. Berbadan tegap dan tinggi, Kuhan menjaringkan banyak gol-gol penting buat negara menerusi pukulan sudut penalti. Antara pemain yang amat berdidikasi dan memberi sepenuhnya untuk negara.

Lim Chiow Chuan (Tengah)
Pemain yang amat berdidikasi dan konsistent di tengah padang. Mempunyai 'work rate' yang agak tinggi dan boleh membantu bahagian serangan dan pertahanan sepanjang perlawanan.

Dr. Calvin Ronnie Fernandez (Tengah)
Dr. Calvin bukan sahaja pintar dalam pelajaran, dia juga pintar di atas padang hoki. Mempunyai bacaan permainan yang baik dan sentiasa berada dalam posesi yang sesuai dalam perlawanan. Seperti Chiow Chuan, Dr Calvin adalah pemain yang amat konsistent dan berdidikasi.

Sarjit Singh (Tengah)
Bekas ketua pasukan negara dan pemain lagenda. Di zaman kemucaknya, Sarjit Singh adalah salah seorang pemain tengah terbaik di dunia. Mempunyai keupayaan membuat hantaran-hantaran tepat dan membuka pertahanan lawan. Pemain tengah yang tiada tolok bandingnya di Malaysia dan sukar di cari ganti.


Minarwan Nawawi (Sayap Kiri)
Siapa tidak kenal Minarwan Nawawi? Antara selebriti sukan tanahair yang amat popular. Bukan sahaja hensem, dia juga adalah salah seorang pemain sayap terbaik di dunia, hampir setanding dengan pemain lagenda Pakistan, Shahbaz Ahmed. Keupayaan Minarwan mengelicik dan membawa bola dengan laju amat dirindui oleh peminat-peminat hoki tanahair. Sehingga kini, kita tidak dapat mencari pengganti yang sehebatnya.

Nor Saiful Zaini Nasiruddin (Sayap Kanan)
Jika Minarwan di kiri, Nor Saiful Zaini adalah legenda di sebelah kanan. Mempunyai kemahiran mengelecek yang tinggi, kepantasan yang hebat dan pukulan yang amat kencang, Nor Saiful  sering menjadi 'duri dalam daging' buat pasukan lawan. Bekas ketua pasukan negara ini juga terkenal sebagai salah seorang pakar sudut pendek terkemuka buat Malaysia.

Colin Sta Maria (Serangan Kiri)
Seorang pemain yang amat tenang dan konsistent serta mempunyai kemahiran yang luar biasa. Mempunyai semangat 'team work' yang kuat dan sering menciptakan peluang-peluang untuk disudahkan oleh penyerang utama. Colin juga punyai 'work rate' yang tinggi dan akan membantu bahagian pertahanan bila diperlukan.

Mohamad Abdul Hadi (Serangan Kanan)
Antara penyumbang gol utama buat Malaysia sepanjang kerjayanya. Hadi pintar menghidu peluang dan pantas bertindak dalam kotak penalti. Di luar kotak penalti pula, beliau dalah pemain yang serba boleh dan berskill tinggi. Selain dari kehebatan menjaringkan gol, Mohamad Abdul Hadi juga boleh memainkan peranan mencipta peluang jaringan buat rakan-rakan sepasukan.


Faizal Saari (Serangan Tengah)
Penyerang muda kebangsaan yang sedang meningkat naik. Mungkin terlalu awal untuk saya letakkan dalam senarai ini, namun keupayaan Faizal memang mengkagumkan saya. Dari segi teknik dan kemahiran, Faizal adalah bertaraf dunia. Apa yang beliau perlu lakukan kini adalah untuk naik setapak lagi dengan membuktikan keupayaannya di kejohanan-kejohanan besar seperti Olimpik dan Piala Dunia. Mungkin, Faizal boleh jadikan pemain Australia, Jamie Dwyer sebagai inspirasi untuk menjadi pemain handalan.

Begitulah 11 pemain-pemain yang saya pilih untuk senarai ini. Anda mungkin punyai pandangan yang berbeza. Sudi-sudikan memberi komen dan cadangan di dalam petak komen di bawah. Terima kasih.

Gambar kredit: chedinsphere.blogspot.com; www.thestar.com.my; berita.rtm.gov.my

- Brader Sports
Tag : Hockey, Hoki
3 Komentar untuk "11 Pemain Hoki Malaysia Terbaik Sepanjang Zaman"

Sy raya ini senarai yg cukup legkap tentang 11 pemain terbaik malaysia...apa yg penting displin dalam padang,fokus perlu tepat dan tidak mudah emosi untuk menjadikan seorang pemain itu hebat dan di geruni pihak lawan

Back To Top