Semalam saya mengikuti rancangan Nadi Arena di Astro Arena. Pengurus pasukan hoki remaja Malaysia, Minrawan Nawawi telah dijemput untuk memberikan pendapatnya mengenai sukan hoki di negara ini. Sebagai bekas pemain negara yang tersohor dan berpengalaman luas dalam bidang hoki, pendapat Minarwan memang menarik dan suka saya dengar dan kupaskan di sini.
Satu perkara yang beliau sentuh dan yang paling menarik perhatian saya adalah mengenai kurangnya dana untuk pembangunan sukan hoki negara. Seperti yang semua maklum, sukan hoki adalah sukan berpasukan yang memerlukan banyak kelengkapan tambahan seperti kayu hoki dan pad pelindung, maka kos pentadbiran dan pembangunan sukan ini amat tinggi, terutama sekali apabila melibatkan penglibatan pasukan hoki ke mana-mana kejohanan mahupun lawatan sambil menimba pengalaman di luar negara.
Seperti yang dinyatakan oleh Minarwan dalam temuramah di Astro Arena, lawatan-lawatan dan perlawanan persahabatan di Eropah amat penting kerana ia membantu meningkatkan kualiti pasukan hoki negara. Pasukan-pasukan Eropah seperti Jerman, Sepanyol dan Belanda misalnya adalah gergasi-gergasi hoki dunia dan mengadakan perlawanan persahabatan yang kerap dengan mereka boleh membantu pasukan negara mengekalkan persembahan pada tahap yang diperlukan.
Tanpa perlawanan-perlawanan sebegini, pasukan negara akan mengalami kejutan setiap kali berada dalam kejohanan besar dunia kerana jarang bermain pada tahap hoki yang tinggi.
Namun, semua ini memerlukan dana yang amat besar jika ingin ianya kerap dilakukan. Rasanya untuk jangka panjang, ia bukanlah sesuatu yang boleh sentiasa kita lakukan. Oleh itu, saya berpendapat bahawa kita patut berusaha memajukan sukan hoki di rantau Asia Tenggara. Apabila kualiti sukan hoki di rantau ini telah meningkat, maka kita tidak perlulah lagi keluar jauh-jauh ke Eropah untuk berlatih dan mendapat lawan yang kuat.
Suka saya sarankan kepada Persatuan Hoki Malaysia agar meminda peraturan pada Liga Hoki Negara dan menjemput negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei dan lain-lain lagi untuk turut sama bermain dalam Liga hoki kita. Jika boleh, undang sekali pasukan dari negara Australia dan New Zealand yang tidak jauh dari negara kita.
Gubal satu format yang sesuai yang tidak panjang musim Liganya agar pasukan-pasukan yang bertanding tidak menghadapi masaalah dari segi logistik, pengangkutan dan kos. Jika ia dapat diadaakan dengan sempurna, nescaya sukan hoki akan berkembang di rantau ini dan kita tidak akan menghadapi kesukaran mencari lawan berkualiti untuk berlatih bersama. Malahan, di Sukan Sea pun, kita mungkin akan dapat lihat persaingan yang lebih sihat dari keadaan sekarang yang sentiasa menyaksikan kita menang dengan jaringan yang besar.
Saya rasa dalam sukan kita perlu ada semangat setiakawan dan ingin maju bersama. Membantu negara-negara lain maju dalam sukan yang kita kuasai boleh memberi faedah yang lumayan di masa hadapan jika kita ingin pergi lebih jauh dalam sukan itu. Yang penting kita tidak jadi 'alpa' dan 'ego' dengan status kita, Insya-Allah usaha sebegini boleh membawa ke arah kebaikan bersama.
- Brader Sports
5 Komentar untuk "Meningkatkan Kualiti Hoki Di Malaysia Dan Asia Tenggara"
setuju. kasi dana banyak sikit. mintak kat KJ.
patutlah KB rasa kenal sahaja gaya penulisan ini..admin rupanya penulis blog dulu lain sekarang lain..anyway KB suka gak baca tentang ulasan sukan tanahair..
Harap pendapat yang baik ni diterima dapat dilaksanakan.
hoki malaysia, boleh tahan gak ler. Kalau dapat sponsor kan bagus
minarwan antara yang aku ingat dalam sukan hoki